Isnin, 1 September 2008

Ekologi Hutan Simpan Pondok Tanjung musnah

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

feroz@bharian.com.my


PUNCA: Penebangan secara agresif tanpa sebarang pemantaun di kawasan bekas Hutan Simpan Pondok Tanjung menjejaskan aliran air lima sungai utama. Penebangan pokok secara agresif punca sungai keruh, berkeladak

Pemusnahan hutan secara agresif di kawasan seluas 530 hektar di bekas Hutan Simpan Pondok Tanjung dekat sini, dikhuatiri menjejaskan keseluruhan sistem ekologi dan kegiatan pertanian daerah Kerian.

Tinjauan Berita Harian mendapati, sepertiga daripada 1,400 hektar tanah dalam hutan simpan berkenaan sudah dibersihkan bagi projek ternakan kambing secara besar-besaran.

Kerja penebangan pokok yang dilakukan sejak Januari lalu itu sudah menampakkan kesan kerana Sungai Jelutong dan Sungai Merah dalam hutan simpan berkenaan sangat keruh dan berkeladak.

Pemantauan Persatuan Alam Sekitar Perak sejak Januari lalu menunjukkan pemegang konsesi mengambil masa tidak sampai tujuh bulan untuk mengeluarkan semua pokok tanpa mengira saiz dalam petak pertama seluas 530 hektar daripada keseluruhan kawasan 1,400 hektar.

Setiausaha Kehormatnya, Meor Razak Meor Abdul Rahman, berkata penebangan pokok secara menyeluruh itu dilakukan kerana status tanah berkenaan sudah ditukar daripada hutan simpan kepada tanah kerajaan.

"Jika hutan simpan, Jabatan Hutan akan menanda pokok yang boleh ditebang berasaskan saiz dan jenis pokok sebelum pemegang konsesi mengambil balak secara teratur.

"Tetapi, dengan status tanah kerajaan, pemegang konsesi balak boleh membersihkan seluruh kawasan ini dengan mengeluarkan semua pokok tanpa mengira saiz.

"Penebangan secara membabi-buta ini menjejaskan aliran air di lima sungai utama yang kemudian mengalir masuk ke Tasik Bukit Merah," katanya di sini, semalam.

Hutan Simpan Pondok Tanjung yang asalnya seluas 10,391 hektar diwartakan pada 1913, dianggap hutan paya gambut terbesar di utara Semenanjung.

Data oleh Universiti Sains Malaysia menunjukkan hutan simpan itu tinggal seluas 7,164 hektar sebelum kawasan seluas 1,400 hektar ditukar status kepada tanah kerajaan untuk projek ternakan kambing.

Meor Razak berkata, kerajaan negeri mesti memantau kerja pembersihan hutan di baki kira-kira 870 hektar petak kedua dan ketiga kawasan hutan yang sudah ditukar status kepada tanah kerajaan itu.

Katanya, pemantauan rapi itu sangat penting kerana Hutan Simpan Pondok Tanjung adalah kawasan tadahan air untuk Tasik Bukit Merah iaitu tasik semula jadi yang menjadi sumber air kepada penanaman padi daerah Kerian.

Beliau berkata, jika Tasik Bukit Merah terjejas, keadaan itu boleh mengganggu kualiti air bagi bendang di Kerian, Perak dan sebahagian Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

"Walaupun projek ini diluluskan kerajaan negeri sebelum ini, Persatuan Alam Sekitar Perak menggesa kerajaan sekarang memantau projek ini kerana penebangan hutan secara agresif ini sudah menampakkan kesan negatif.

"Banjir di beberapa kampung di sekitar Selama beberapa bulan lalu contohnya sangat lambat untuk surut kerana sebahagian paya gambut yang memerangkap air sudah tiada," katanya.

Meor Razak berkata, projek ternakan kambing mega itu juga dipercayai tidak mempunyai Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) kerana Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan Perak sendiri tidak pasti mengenai laporan terbabit ketika diminta oleh Persatuan Alam Sekitar.


Cetak artikel | Hantar pada kawan