Ahad, 27 September 2015

KERAJAAN DAN MAJLIS FATWA DISARAN HARAMKAN DAP

Ketika Persatuan Guru-guru Pondok Seluruh Kelantan bermukim selama tiga hari pada Ogos  2012 dan mengeluarkan ketetapan bahawa haram mengundi DAP, pengasas dan Pengetua Pondok Geting, Tumpat, YM Tuan Guru Abdullah Samahah, diserang bertubi-tubi kononnya menerima RM 2 juta dari UMNO Kelantan bagi membiayai aktiviti beliau dan membangunkan pusat pengajian beliau dengan mengeluarkan fatwa sedemikian.

Hakikatnya, fatwa yang dikeluarkan merupakan resolusi pemukiman guru-guru pondok seluruh Kelantan selama tiga hari tiga malam dengan pelbagai kitab-kitab rujukan ulama' muktabar.

Apabila PAS memutuskan Tahaluf Siyasi dengan DAP pada 11 Julai 2015 yang lalu, ia adalah keputusan musyawarah Dewan Ulama' PAS Pusat. Kemudian ianya diperhalusi diperingkat Majlis Syura Ulama' dan akhirnya diterima oleh kepimpinan PAS.

Ustaz Muhammad Najihan Halim, Setiausaha Dewan Ulama' PAS Selangor pada 9 Jun 2015  berpendapat usul membatalkan Tahaluf Siyasi bersandarkan kepada sembilan (9)  hujah yang MENEPATI SYARIE dan mencapai keputusan sebulat suara Dewan Ulama' PAS Pusat. (sila rujuk usul Dewan Ulama' PAS Pusat sembilan dalil tersebut).

Sementara itu Setiausaha Majlis Syura Ulama' (MSU) PAS Pusat, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, PAS istiqamah dengan prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua yang menegakkan keadilan dan kesejahteraan untuk semua kaum tetapi kesal dengan tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam selain melanggar semangat kerjasama pakatan pembangkang serta CAMPUR TANGAN DALAM AQIDAH,, dasar dan matlamat parti PAS.

Kenyataan yang lebih keras datangnya dari Presiden PAS sendiri Tuan Guru Dato' Haji  Abdul Hadi Haji Awang yang menganggap bahawa DAP MENENTANG PELAKSANAAN ISLAM.

Kesemua hujah-hujah ulama' dan pemimpin PAS di atas sebenarnya membenarkan fatwa Persatuan Guru-guru Pondok Seluruh Kelantan sebelum ini yang menganggap HARAM MENGUNDI DAP.

Kemelut ini tidak berakhir di sini sahaja. Jabatan Mufti Pahang Darul Makmur di dalam khutbah Eidul Adhanya pada 24 September 2015 lepas secara terang-terangan dan tanpa berselindung menyatakan bahawa DAP MENENTANG ISLAM.

Antara lain,  teks khutbah tulisan jawi berkenaan menyebut;
"Dewasa ini kita melihat perpecahan umat Islam di negara kita terutama bangsa Melayu begitu ketara. Perpecahan ini kerana mengutamakan parti politik melebihi perpaduan dan persaudaraan Islam seperti parti UMNO, PAS, PKR dan ditambah parti baru yang dinamakan GHB. Malahan ada dikalangan umat Islam yang menyertai parti DAP YANG TERANG-TERANG MENENTANG ISLAM."

Apakah menjadi satu kesalahan kepada saya dan umat Islam lain yang bertaraf awam memohon supaya kerajaan melalui JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan atau Majlis Raja-raja mengambil suatu ketetapan yang konkrit terhadap DAP agar umat Islam tidak terus diporak perandakan oleh golongan ultra kiasu yang sememangnya licik dan keji demi mencapai matlamat perjuangan mereka?

Apakah dengan fatwa-fatwa dari Guru-guru Pondok Kelantan, ulama' PAS dan Jabatan Mufti Pahang tidak cukup kuat untuk kerajaan mengharamkan DAP sebagai sebuah parti politik yang  mengancam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, "Islam Sebagai Agama Bagi Persekutuan?"

Saya percaya jika kita meneliti undang-undang tubuh DAP, ia bukan sahaja bertentangan dengan Islam Sebagai Agama Bagi Persekutuan bahkan ianya juga bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bertindak pantas dan tepat menjamin survival umat Islam selagi kita diberi amanah kekuasaan oleh ALLAH swt.