Rabu, 14 Jun 2017

Kerajaan Digesa Wujudkan Majlis Bekas Ketua-Ketua Polis Negara (KPN)

UNTUK SIARAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan 


Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menggesa kerajaan menubuhkan sebuah Majlis Bekas Ketua-Ketua Polis Negara untuk berfungsi sebagai memperkasakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdepan cabaran yang lebih hebat pada masa sekarang.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata cabaran kini begitu besar khususnya dengan kewujudan media sosial yang semakin canggih dari hari ke hari serta kebebasan menyebarkan maklumat tanpa rasa tanggungjawab yang semakin teruk pada waktu ini.

"Saya yakin dengan kewujudan majlis seperti ini, bekas-bekas IGP sebelum ini boleh sedikit sebanyak membantu PDRM berdepan cabaran khususnya melibatkan fitnah dan hasutan yang memburukkan imej pasukan itu.

"Ada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan banyak maklumat salah berkenaan polis khususnya mereka yang mahu meletakkan imej buruk kepada PDRM dengan tujuan yang salah," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Sejak akhir-akhir ini, ada pihak yang menggunakan rakaman video yang disebarkan ke media sosial yang menunjukkan PDRM dalam keadaan yang buruk padahal kejadian sebenarnya adalah berbeza daripada apa yang disebarkan.

Musa berkata, sebagai bekas Ketua Polis Negara, kesemua mereka masih rasa bertanggungjawab melaksanakan amanah terus memastikan organisasi PDRM terus diyakini oleh rakyat sebagai barisan hadapan menjaga kestabilan dalam negara serta mengekang aktiviti jenayah dari terus berleluasa.

"Majlis berkenaan akan bertindak memberikan penjelasan dan mempertahankan imej polis kerana kita percaya PDRM tetap kuat dan melaksanakan amanah negara dengan penuh integriti dan ketegasan.

"Mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan kewujudan media sosial, membuat fitnah, menghasut serta memperlekeh tugas polis sehingga membuatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan beruniform itu tergugat," katanya.

Beliau berkata, selain itu, majlis berkenaan juga boleh digunakan sebagai platform menyebarkan kesedaran bahaya jenayah kepada orang ramai melalui penjelasan menyedarkan orang ramai supaya menghindarkan diri menjadi mangsa jenayah.

"Integriti dan kekuatan PDRM akan terus dipertahankan melalui penubuhan majlis berkenaan," kata Musa.

14 Jun 2017
1.03 petang