Isnin, 5 Jun 2017

LARANGAN TAZKIRAH SEMASA SOLAT TERAWIKH




IPOH – Semua masjid di negeri ini akan menunaikan Solat Tarawih sebanyak 20 rakaat pada tahun ini.

Perkara itu dititahkan sendiri oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

Baginda bertitah, perkara itu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan dan niat penduduk kariah yang berhajat mahu menunaikan 20 rakaat Solat Tarawih.


"Para makmum yang berhasrat untuk menunaikan Solat Tarawih kurang daripada 20 rakaat boleh berbuat demkian mengikut pilihan masing-masing.


"Namun setiap masjid diwajibkan menyediakan imam dan bilal untuk memimpin Solat Tarawih genap 20 rakaat setiap malam," titah Baginda menerusi kenyataan yang disampaikan Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Dr Amiruddin Muhamed kepada Sinar Harian, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah agar Solat Tarawih hendaklah diutamakan dan dilaksanakan sebaik selesai Solat Sunat Rawatib.

Dalam pada itu, Baginda turut melarang tazkirah diadakan di antara solat sunat Rawatib dengan Solat Tarawih dan di antara rakaat-rakaat semasa mengerjakan Solat Tarawih.

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan atas titah Sultan Nazrin itu turut diedarkan kepada Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), semua Orang Besar Jajahan, Pentadbir Agama Daerah, Pengerusi Jawatankuasa Masjid, pegawai masjid, imam dan bilal untuk dijadikan garis panduan.


Ini adalah petikan daripada akhbar Sinar Harian Online bertarikh 1 Jun 2016 dan titah Tuanku kekal hingga hari ini, tetapi sayangnya masih ada masjid yang mengengkari titah tersebut dengan mengadakan tazkirah dan solat terawikh 8 rakaat seperti biasa. 

Manakala petikan Harakah 2013 di bawah jelas menunjukkan parti tersebut kecewa dengan kenyataan Mufti Perak berkaitan larangan tazkirah di sepenjang bulan Ramadan.




IPOH: PAS Perak melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melarang masjid dan surau mengadakan tazkirah di sepanjang bulan Ramadhan tahun ini.

Timbalan Pesuruhjayanya, Ustaz Misbahul Munir Masduki (gambar) berkata, tazkirah di bulan yang mulia ini adalah satu langkah baik dan bijak oleh kerana bilangan kehadiran umat Islam sangat tinggi.

Menurutnya, kita sepatutnya mengambil peluang terbaik ini untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat dan ianya mungkin menjadi permulaan untuk rakyat meminati dan cinta akan majlis ilmu.

“PAS Perak sangat tidak bersetuju dengan larangan daripada mufti ini kerana ianya akan merugikan peluang yang Allah berikan pada bulan yang mulia ini.

“Majlis ilmu pada bulan-bulan lain kurang sambutan, jadi apa salahnya di saat kehadiran masyarakat di bulan ini agak ramai, kita gunakan peluang yang terbaik ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau menjelaskan, tazkirah ini adalah pengganti kepada kuliah-kuliah termasuklah kuliah Maghrib yang dihentikan di sepanjang bulan Ramadhan.

Dalam keadaan ini, Misbahul berkata, PAS Perak menyarankan Pejabat Mufti mahupun Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengeluarkan garis panduan termasuklah teks tazkirah untuk dibaca oleh penyampai tazkirah.

Ujar misbah, buku tebal yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Perak untuk menjadi bahan tazkirah oleh para imam juga baik digunakan ketika ini.

“Diharap mufti menarik balik larangan tazkirah yang semakin diminati oleh masyarakat dan yang tidak suka mendengar tazkirah ini hanyalah segelintir yang sememangnya tidak suka kepada majlis ilmu.

“Kalau nak dikira bid'ah sekali pun, ia masih lagi bid'ah hasanah sebagaimana amalan-amalan bidaah yang lain.

“Janganlah hanya kerana segelintir yang tidak suka tazkirah, amalan yang baik ini diharamkan,” jelasnya lagi.

Tegasnya, sebagai mufti, Harussani sepatutnya menggalakkan amalan baik ini dan berterima kasih kepada penganjur serta pemberi tazkirah kerana mereka sebenarnya telah membantu menghidupkan Ihya' Ramadhan dan mengembangkan syiar dakwah. 15/07/2013

Bagaimanapun arahan Mufti dan Titah Sultan nampaknya masih diengkari oleh setengah-setengah AJK Pentadbiran Masjid di Perak pada tahun ini.