Jumaat, 23 Jun 2017

MAHKAMAH JENAYAH SEKSUAL TERHADAP KANAK-KANAK




22 JUN 2017

Alhamdulillah, pagi tadi di Bangunan Mahkamah Rendah, Putrajaya, saya telah merasmikan penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang pada saya amat besar ertinya khusus kepada aspek perlindungan kanak-kanak sebagai permata dan pewaris masa depan negara.

Penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak–Kanak ini merupakan komponen penting di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak. Selain itu, kita harus berbangga kerana Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, dan juga pertama di Asia Tenggara.

Buat permulaan ini, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman Putrajaya ini akan mendengar kes-kes yang berlaku di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Fungsi dan tugas Mahkamah ini akan diperluaskan di setiap negeri secara berperingkat.

Saya berharap agar kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat diselesaikan secepat mungkin, seboleh-bolehnya kurang daripada satu tahun berbanding kini yang adakala kes-kesnya berlarutan sehingga beberapa tahun.

Penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak ini turut mengambil kira persekitaran yang mesra dan sesuai dengan kanak-kanak, bertujuan untuk menyediakan kemudahan bagi memenuhi keperluan saksi kanak-kanak sebagai mangsa jenayah seksual.

Bagi maksud ini, antara fasiliti-fasiliti yang disediakan adalah lebih menjurus untuk memenuhi keperluan saksi kanak-kanak seperti:-

i) Kelengkapan sistem Court Recording and Transcription (CRT);

ii) Penyediaan bilik saksi dan menunggu mesra kanak-kanak yang dilengkapi dengan kemudahan video-link, serta;

iii) Kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

Berhubung itu, saya merakamkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada pihak PERMATA yang turut membantu dalam menyumbang kepada penyediaan kelengkapan di bilik saksi dan menunggu kanak-kanak untuk Mahkamah ini.

Saya juga diberitahu bahawa dalam memastikan kanak-kanak dilindungi dari jenayah seksual secara holistik, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, pihak Mahkamah serta Majlis Peguam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), akan melaksanakan program-program pembangunan kapasiti, latihan serta kursus berterusan untuk para Hakim dan Timbalan Pendakwa Raya yang akan mengendalikan kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak secara berkesan.

Selain itu, program latihan juga harus diberikan kepada peguam bela khususnya berkaitan pendekatan etika dalam pemeriksaan balas saksi-saksi kanak-kanak.

Pada sudut Garis Panduan Khas Pengendalian Kes, saya menyarankan supaya Special Standard Operating Procedures atau suatu Garis Panduan Khas untuk mengendali kes-kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak juga harus dirangka di dalam tempoh masa yang terdekat ini. Sebuah jawatankuasa kerja yang melibatkan pihak Mahkamah, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta beberapa NGO kanak-kanak, termasuk UNICEF, perlu diwujudkan untuk merangka garis panduan khas ini.

Tambahan lagi, garis panduan khas yang bakal dirangka ini perlulah menepati kehendak dan keperluan saksi kanak-kanak, serta selaras dengan amalan terbaik yang dilaksanakan di negara-negara lain di dunia.

Dalam menjayakan hasrat ini, sokongan dan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik adalah sangat penting untuk memastikan Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 ini akan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Selain itu, adalah menjadi tanggung jawab kita bersama untuk memastikan penjenayah-penjenayah seksual kanak-kanak ini diheret ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman berat, setimpal dengan jenayah terkutuk yang telah mereka lakukan.

Akhir sekali, semua pihak termasuk agensi Kerajaan, pihak swasta, badan-badan bukan Kerajaan dan masyarakat sivil haruslah bersama menggembleng tenaga, memperkukuh serta meneruskan kolaborasi yang merentas disiplin dan sektor dalam memastikan jenayah tidak berperikemanusiaan ini dapat kita bendung dan tangani secara terperinci, holistik, serta bersepadu.

Saya sesungguhnya yakin dan percaya bahawa dengan usaha gigih dan komitmen demikian, kita pasti akan berjaya mencapai matlamat penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ini. Insya-Allah.

NAJIBRAZAK.COM