Jumaat, 8 Disember 2017

Amaran kepada anasir jahat di Sabah dan Sarawak

Kerajaan bersedia mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang terhadap mereka yang 'bermain api' menghasut rakyat menggunakan slogan 'Sabah untuk Sabah' dan 'Sarawak untuk Sarawak'.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perbuatan itu adalah satu kesalahan yang amat serius dan mereka boleh dikenakan hukuman berat.

"Tiada sesiapa yang kebal dari segi undang-undang. Perkara ini tidak harus dibenarkan berlaku," katanya ketika merasmikan secara serentak persidangan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini malam ini.

Katanya tindakan pihak-pihak berkenaan menghasut rakyat dengan slogan itu cukup bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden itu turut memberi ingatan bahawa tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian boleh menyebabkan rakyat Malaysia menangggung derita akibat permainan dan hasutan campur tangan asing pada masa depan.

"Tindakan bermain api yang mahu mewujudkan anarki dan ketidakstabilan negara harus kita tentang. Bak kata orang tua-tua 'bertelingkah antan dilesung, ayam juga yang kenyang'," katanya.

Ahmad Zahid berkata mereka yang berkenaan itu sanggup mempolitikkan isu tersebut semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

"Semua ini terjadi apabila adanya pemimpin yang terperangkap dalam percaturan dalang-dalang politik yang bankrap idea dan muflis jiwa.

"Kerana asakan gelojoh nafsu dan serakah politik bertuankan tok dalang ini, mereka rela menjadi bidak-bidak di papan catur," katanya. - BERNAMA

NOTA KAKI

Antan dan lesung  bergaduh ayam kenyang. Kepada tok dalang jaga jaga.
Yang peliknya, mereka anti Semenanjung tetapi bersekongkol dengan parti pembangkang dari Semenanjung.