Jumaat, 16 Februari 2018

Isu Tanah RRHP Ijok Selangor, Rahman Dahalan Hanya Minta Jawapan Azmin Ali















PETALING JAYA: Kerajaan Selangor berkata Umno “panik” apabila Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dapat menyelesaikan masalah tanah di Ijok yang diwarisi daripada pentadbiran lepas.

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor Yin Shao Loong mendakwa tindakan tegas Azmin dapat menyelesaikan pertikaian 18 tahun antara peneroka tanah di Ijok dengan kerajaan negeri.

“Masalah berkenaan sebenarnya timbul pada masa pentadbiran Umno/BN, yang mana peneroka telah menunggu selama 18 tahun untuk memperoleh keadilan.

“Tindakan segera Azmin menyelesaikannya adalah merupakan prinsip keadilan sosial dan peduli kerajaan Selangor,” kata Yin dalam kenyataan hari ini.

Dilaporkan tanah di Ijok pada awalnya diberikan kepada sekumpulan peneroka pada 1998 oleh kerajaan BN ketika itu.

Peneroka kemudian bersetuju untuk membenarkan 2 syarikat untuk membangunkan tanah itu sebagai tukaran untuk pampasan dan perumahan.

Dilaporkan pada 2015, ECO World Development Group Bhd membeli 889.5ha tanah di barat laut koridor Lembah Klang pada harga RM1.18 bilion untuk membangunkan 3 projek hartanah, dengan nilai pembangunan kasar yang dianggarkan bernilai RM15 bilion.


“Masalah itu yang diwarisi Azmin telah dapat diselesaikan dengan menjual tanah berkenaan kepada pemaju berwibawa sebanyak RM1.18 bilion dan membolehkan peneroka memperoleh pampasan dan rumah kediaman,” kata Yin.

Beliau menambah dengan menyelesaikan pertikaian itu, Azmin terbukti membela peneroka apabila mengumumkan setiap seorang akan menerima pampasan RM180,000 dan rumah yang sekarang bernilai RM400,000.

Semalam, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mencabar Azmin menjawab persoalan sekitar penyelesaian tanah di Ijok.

Antara soalan yang diajukan ialah mengapa Azmin membatalkan kes sebelum ia didengari Mahkamah Persekutuan dan mengapa beliau membenarkan 2 syarikat itu untuk menjual tanah kepada pihak ketiga.

“Tindakan Abdul Rahman mempersoalkan langkah kerajaan negeri jelas menunjukkan pemimpin BN itu dangkal, tidak faham fakta dan tidak memahami latar kes mahkamah berhubung isu tanah di Ijok,” kata Yin.

Beliau berkata tindakan tegas Azmin itu juga membuktikan bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil risiko dalam isu itu.

“Meskipun tanah itu diberi kebenaran untuk dirampas dalam keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, namun kerajaan negeri perlu membayar pampasan sehingga ratusan juta ringgit kepada 2 syarikat dan bank yang memberi pinjaman kepada 2 syarikat itu.

“Ia menunjukkan tindakan bekas Khalid berisiko tinggi terhadap perbendaharaan negeri,” kata Yin.

Dalam satu kenyataan awal hari ini, Khalid mempertikaikan cara transaksi itu dijalankan oleh kerajaan negeri.

“Ini bukanlah amalan terbaik dan bukan ‘good business sense’ dalam mengendalikan asset-aset rakyat Selangor,” tambahnya.

Kedua-dua syarikat itu menyaman kerajaan Selangor apabila Khalid merampas tanah itu.

Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada kerajaan negeri.

Kes itu berada di Mahkamah Persekutuan apabila Azmin memfailkan satu perjanjian penyelesaian pada Mei 2016, menyatakan kerajaan negeri dan 2 syarikat itu sudah mencapai satu perjanjian untuk membatalkan kes itu.


NOTA LUTUT


Dalam sidang media Dato Abdul Rahman Dahlan menyebut, Bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim merampas semula tanah kerana perlanggaran syarat oleh syarikat  Mujur Zaman dan LBCN atas sebab yang kukuh. Kes pengambilan balik tanah tersebut oleh kerajaan negeri Selangor dilakukan pada 2009 . 

Pemaju tidak puas hati dan membawa kes ke mahkamah.  Pun begitu kerajaan negeri menang di mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan dan pemaju yang kalah telah membuat rayuan di mahkamah persekutuan.

Belum pun pendengaran kes di buat di mahkamah persekutuan, Azmin telah mengarahkan tanah tersebut diberikan semula kepada dua syarikat tersebut tanpa menunggu kes dibicarakan.

Di sinilah timbul persoalan mengapakah Azmin tergesa-gesa sangat menarik balik kes di mahkamah persekutuan. 

Yin Shao Long berkata tindakan Azmin adalah untuk menyelesesaikan pertikaian selama 18 tahun adalah tidak tepat kerana kes berjalan di mahkamah persekutuan pada tahun 2015. 

Menurut CEO Eco Word Development Group Berhad  mereka merancang untuk membeli tanah tersebut daripada kerajaan negeri dengan harga RM 1.18 Bilion untuk memajukan tanah seluas 2198 ekar, jual beli tanah dibuat pada 22 September 2015.  Ia berlaku selepas setahun pilihan raya kecil  Kajang yang diadakan pada 23 Mac 2014.


Ekoran daripada pendedahan Dato Abdul Rahman Dahlan yang ingin mendapat jawapan dari Azmin Ali, mantan MB Selangor telah membuat satu kenyataan media seperti berikut;-


KENYATAAN MEDIA

15 FEBRUARI 2018

PENYELESAIAN KES-KES LBCN & MUJUR ZAMAN OLEH MENTERI BESAR DAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR HARUS DISIASAT

Isu yang dibangkitkan baru-baru ini berkenaan tanah-tanah di Ijok sebenarnya telah saya suarakan di sidang Dewan Negeri Selangor pada November tahun 2016.

Mengapa tanah-tanah tersebut yang telah dirampas oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 2009 semasa saya Menteri Besar Selangor dipulangkan semula, dan kemudian dijual kepada pihak lain? Pada pendapat saya, ini bukanlah amalan terbaik dan bukan “good business sense” dalam mengendalikan asset-aset rakyat Selangor.

Kes yang dibawa oleh LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd telah berada di peringkat Mahkamah Persekutuan [Rayuan Sivil No. 01(i)-14-04/2014(W)] apabila penyelesaian dibuat. Walaupun saya merupakan salah satu daripada pihak dalam kes tersebut, saya dan peguamcara saya tidak pernah hadir atau diajak hadir ke sebarang perbincangan untuk penyelesaian tersebut.

Semasa kes-kes ini berjalan, terdapat percubaan oleh pihak-pihak tertentu untuk membuat tawaran kepada saya sebagai Menteri Besar untuk menyelesaikan perkara ini. Namun, saya tekad untuk membela keputusan saya yang bertujuan memulihkan projek terbengkalai yang telah menyusahkan ribuan keluarga peneroka dan pembeli rumah. Terdapat juga pihak berkepentingan tertentu termasuk ejen-ejen tanah (“land brokers”) dan institusi-institusi kewangan yang tidak mahu projek-projek tersebut dipulihkan.

Kerajaan Negeri Selangor tidak seharusnya bersetuju dengan penyelesaian tersebut yang jelas telah memberi kesan negatif. Sekarang terdapat persepsi bahawa penyelesaian tersebut dibuat dalam keadaan mencurigakan; sekaligus mencemar nama baik dan reputasi Kerajaan Negeri.

Saya berharap pihak-pihak berkuasa akan menyiasat dengan lebih mendalam perkara ini terutamanya pihak-pihak yang terlibat dalam penyelesaian tersebut agar kebenaran dapat didedahkan.

TAN SRI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
AHLI PARLIMEN BANDAR TUN RAZAK
ADUN PELABUHAN KLANG



Mujur Zaman dan LBCN dikatakan gagal menyiapkan 924 rumah teres 2 tingkat dan ianya disebut dalam jawapan bertulis di dewan undangan negeri pada 2015.  Maklumat  boleh di akses di (KLIKSINI)



Sebelum kes ini menjadi besar,  penduduk menyalahkan kerajaan Barisan Nasional kerana gagal melaksanakan projek tersebut dan merayu kepada Tan Sri Khalid Ibrahim campur tangan.

Mujur Zaman dan LBCN telah menyaman kerajaan negeri di Mahkamah Tinggi sebanyak RM5 Billion dan kes akan mula disebut pada 5 April 2013.

Tan Sri Khalid berjanji kepada peneroka untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin ketika beliau berdialong dengan PENDUDUK

Azmin mungkin berjaya memuaskan hati 980 peserta dengan setiap seorang menerima wang tunai RM180 ribu dan rumah bernilai RM250 ribu. Pun begitu kerajaan Azmin masih untung  RM 1. 54B untuk perbendaharaan negeri.  Pada penilaian Dato Abdul Rahman, nilai rumah tersebut bukanlah RM250 ribu tetapi nilai semasa adalah RM400 ribu. 

Namun Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, beliau tekad mempertahankan keputusannya kerana menganggap tindakan pemaju berkenaan menyebabkan projek terbengkalai dan menyusahkan ribuan keluarga peneroka dan pembeli rumah.


Y.B. TUAN ISKANDAR BIN ABDUL SAMAD: Terima kasih, Assalamualaikum, salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat, terima kasih Tuan Speaker.

Untuk makluman Yang Berhormat berdasarkan kepada rekod pentadbiran ini hanya mengenal pasti satu projek yang masih belum disiapkan dengan sijil layak menduduki di Puncak Alam. Ianya ialah projek Alam Mutiara yang dimajukan oleh MZ Development Sdn. Bhd. Manakala pemilik tanahnya adalah Tetuan Mujur Zaman Sdn. Bhd.

Pada asalnya keseluruhan tanah yang merupakan tanah milikan, 712 peneroka melibatkan sebanyak 19 hak milik blok dengan keluasan tanah adalah 718.13 hektar atau 1,774.54 ekar melalui perjanjian pengurusan antara 712 peneroka dan Mujur Zaman Sdn. Bhd. yang telah ditandatangani pada tahun 2000 di mana Mujur Zaman Sdn. Bhd bersetuju membayar pampasan sebanyak RM360,000.00 seorang yang terdiri dalam bentuk wang tunai sejumlah RM180,000.00 dan sebuah rumah yang bernilai RM180,000.00.

Walau bagaimanapun pemaju MZ Development Sdn. Bhd. gagal menyiapkan 924 unit rumah teres dua tingkat yang dimajukan pada tahun 2003 dengan kemajuan kerja tapak hanya mencapai 10 hingga 20 peratus dan pada tahun 2006,

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengisytiharkan projek ini sebagai projek terbengkalai. Namun pada 15 Februari 2012 pemaju MZ Development Sdn. Bhd. telah dikenakan perintah penggulungan oleh mahkamah dan melantik Jabatan Insolvensi Selangor sebagai pelikuitasi.

Berikutan itu, pihak Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dalam usaha memulihkan projek ini melalui tindakan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 ke atas tanah milikan Mujur Zaman Sdn. Bhd.

Pada 11 Oktober 2012 Pejabat Tanah dan Galian Selangor telah mewartakan cadangan pengambilan tanah terlibat untuk tujuan pengambilan tanah.

Walau bagaimanapun usaha untuk meneruskan proses pengambilan tanah dan pemulihan terpaksa ditangguhkan disebabkan atas perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 3 Disember 2012 untuk semakan semula kehakiman yang dibuat oleh pemohon iaitu Mujur Zaman Sdn. Bhd. iaitu tuan tanah.

Lanjutan daripada beberapa kes perbicaraan diadakan, Kamar Penasihat Undang- undang Negeri Selangor masih menunggu tarikh perbicaraan baru oleh Mahkamah Rayuan yang akan diakan pada 5 Januari tahun depan iaitu 5 Januari 2015 bagi memutuskan keputusan sama ada tindakan pengambilan tanah boleh diteruskan atau dibatalkan. Sehubungan dengan itu,



Kerajaan Negeri masih tidak boleh berbuat apa-apa ke atas tanah tersebut termasuk meneruskan proses pengambilan tanah dan seterusnya kerja-kerja pemulihan iaitu cadangannya adalah pemulihan dilakukan oleh Kerajaan Negeri tetapi ianya perlu disahkan oleh mahkamah bahawa pengambilan tanah itu adalah sah dan sehingga keputusan mesyuarat ataupun sehingga keputusan pendengaran mahkamah rayuan pada 5 Januari akan datang maka Kerajaan Negeri tidak dapat masuk untuk membuat kerja-kerja selanjutnya. Oleh sebab itu, kita terpaksa menunggu kepada keputusan mahkamah rayuan. Terima kasih.
TUAN SPEAKER: Ijok 

JUAL TANAH LAGI UNTUNG DARI JUAL UNTA . KAYA AA .... RM 1,180,000,000