Rabu, 21 Mac 2018

Dato Seri Paduka Khairuddin Abu Hassan panas punggung lagi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula bertindak dengan menahan enam individu termasuk dua yang bergelar Datuk selepas hampir lima bulan melakukan siasatan berhubung isu penjualan tanah seluas 880 hektar di Ijok, Selangor kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion.

Kesemua suspek yang berusia antara 34 dan 84 tahun yang dua daripadanya bapa dan anak ditahan di Petaling Jaya, Selangor serta Ibu pejabat SPRM Putrajaya bermula pukul 12.45 tengah hari hingga 4 petang bagi membantu siasatan isu tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, lima daripada suspek merupakan pe­ngarah di lima syarikat pemaju swasta di ibu negara dan Selangor manakala seorang lagi bekas pe­ngarah.

Katanya, SPRM juga sedang mengesan seorang lagi pengarah syarikat bergelar Datuk yang dipercayai berada di luar negara.

“Siasatan SPRM melibatkan penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada lima syarikat iaitu masing-masing menerima kira-kira RM68 juta, RM62 juta, RM42 juta, RM16.5 juta, dan RM8.5 juta.

“Pasukan penyiasat juga telah membeku sembilan akaun peribadi dan syarikat bernilai RM39 juta milik kesemua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Jelas beliau, kesemua tangkapan tidak melibatkan ahli politik dan SPRM akan mendapatkan perintah reman terhadap mereka esok .

“Kesemua mereka ditahan dan disiasat bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” tambahnya.

Pada November lalu, dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Generation2u United Club dan Persatuan Pemuda Kampung Lindungan 565 membuat laporan kepada SPRM meminta siasatan dijalankan jika terdapat unsur rasuah berhubung isu tanah di mukim Ijok yang diberikan oleh kerajaan PKR Selangor kepada dua syarikat.

Tanah seluas 880 hektar itu dibeli oleh dua syarikat, LBCN Development Sdn. Bhd., dan Mujur Zaman Sdn. Bhd., pada 1998 namun dirampas kerajaan negeri itu pada 2008 mengikut Kanun Tanah Negara berikutan pelanggaran syarat dan terma perjanjian.